BAB 5 - Versi 2



BAB 5

NANA rasa macam serba tak kena.  Dia perasan, tadi pelanggan wanita itu tersengih-sengih padanya.  Dia yang sedang membelakangi wanita itu sempat tertunduk-tunduk ke bawah.  Memeriksa penampilan diri.  Baju dan seluar? Elok saja tak ada yang koyak-rabak.  Tudung senget? Aku rasa okey.  Ah, apa-apa sajalah!  Nana kembali ke kaunter pembayaran, untuk menghulurkan kek coklat yang siap dibungkus kepada pelanggan itu tadi. 

‘’Thank you.’’ Ucap Nana dengan senyuman.

‘’You're welcome.’’ Wanita itu kemudiannya hendak melangkah tapi... ‘’By the way miss, your ...err, there was something on your cheek. On the right side.’’

‘’Face?  Right side?’’ Dahi Nana berkerut.  Wanita itu, menghalakan jari ke pipi kanannya sendiri.  Sebagai isyarat.  Manalah tahu Nana tidak mengerti apa yang dia maksudkan. 

‘’Ohhh...’’Nana mengangguk. Dia kemudian mengesat pipi kanannya dengan belakang tangan.  Ada sesuatu yang berwarna putih dan serta-merta jugalah matanya yang bulat itu membesar.  Tepung!  Patutlah dari tadi lagi minah salih ni tersengih macam kerang busuk.  Rupanya... Ah, memalukan datuk sebelah laki tok nek aku betul!

Muka Nana kemerahan.  Tapi dia berpura-pura cool selepas itu. ‘’Oh, this? This is just bedak sejuk.  After some minutes, I will wash my face'’ Kau ni Nana, macam orang bodoh!  Nana menyumpah diri sendiri.  English tunggang-langgang jadinya. Faham ke minah salih ni nanti?

 ‘’Bedak..bedak what? What is that?’’

‘’Alah, cold powder.  You know?  You don’t know right? Of course you don’t know.  We put this on our face..for beauty..’’ Apa ada hal pula bedak sejuk!  Nana bengong.

Wanita itu hanya menjungkit bahu.  Dia masih tak dapat tangkap penerangan oleh Nana tadi.

‘’Alah, macam mana aku nak explain ni.’’ Nana menggaru-garu kepala.  Tak pasal-pasal nak kena terangkan pula.  Sudahlah, aku guna broken english.  Broken pun brokenlah!

‘’You know, we call this magic powder..’’

‘’Excuse me, ma’am.  It is like a chalk solution.  Malay people, especially women use it to treat pimples or something like that.’’ Seorang lelaki tiba-tiba mencelah.  Entah dari mana datang.  Nana pula tercengang. Tengah aku bagi explanation, ada pula alien yang menyampuk! 

‘’Oh, really?  I was so keen to try it out next time.’’

‘’Yes? What?’’ Nana tersentak.  Dia kurang jelas.

‘’Dia kata, lain kali dia berminat nak cuba bedak sejuk awak tu.’’ Lelaki itu bersuara lagi. Dalam hati, Nana mengomel.  Menyibuk sajalah nak jadi translator aku!  Kau tak payah terjemah pun aku dah faham.

Pelancong asing itu pula hanya mengangguk sambil tersenyum.  Macam faham! 

‘’Ohh, yes.  You can.  You can try.’’ Luah Nana pula sambil mengukir senyuman selebar-lebarnya.  Sebaik sahaja pelancong wanita itu beredar dari situ,  sekarang tinggallah Nana dan lelaki itu di depan kaunter.  Dan senyuman Nana menipis. ‘’Ya, nak apa?’’

‘’Bedak sejuk.’’ Nana membesarkan mata.  ‘’Ops sorry, two slice of red velvet please. Wrap cantik-cantik eh.  Kalau boleh lagi cantik dari yang cik tadi tu punya.’’ Lelaki itu pula berpura-pura tersilap sambil mengalakan jari telunjuknya ke arah deretan kek yang tersusun di dalam confectionary showcase.  Sengajalah tu!  Nana geram.

‘’Bedak sejuk memang kena guna sebelah muka saja eh, bukannya kena pakai seluruh muka?’’ Soal lelaki itu sebaik sahaja Nana menghulurkan seplastik kek yang siap berbungkus kepadanya.  Nana mengerutkan dahi.  Tak habis-habis lagi nak menyindir aku!

‘’Kenapa?  Awak pun teringin nak guna?’’

‘’No, just asking. By the way, saya rasa baik awak cari cermin.’’

‘’Kenapa?’’

‘’Bedak sejuk tu...tak hilang lagi.’’

##

‘’KAU kenapa senyum-senyum pulak ni?’’

‘’I just met a funny person..’’ Tawa Azharel terlepas sebaik sahaja dia sampai ke meja.  Reaksi yang diberikan oleh gadis yang bertugas di kaunter pembayaran tadi cukup menggelikan hati.  Kalau bukan pelancong asing tadi, mungkin dia yang akan menegur terlebih dahulu.  Pada mulanya dia ingin biarkan sahaja, tak nak masuk campur.  Tetapi bila mendengar gadis itu bercerita tentang bedak sejuk hatinya tercuit pula  Sudahnya dia pula yang terpaksa memberi penerangan.  Bedak sejuk?  Siapa pula yang pasang bedak sejuk siang-siang buta.  Sah, budak tu bengong.













No comments: