PROLOG - Versi 2


Prolog
‘’KELAS, macam yang kita dah bincangkan tadi tugasan untuk hari ni cikgu nak kamu semua buat satu karangan tentang keluarga. Panjang karangan, tak boleh lebih dari seratus patah perkataan.  Siapkan sebelum loceng masa ke dua berbunyi, ya.’’ Cikgu Sadiah menulis sesuatu pada papan hitam sambil memberi arahan.
‘’Baik, cikgu..’’ Serentak murid-murid kelas 5 Bestari menyahut.  Masing-masing kemudiannya membuka buku latihan dan mula tekun menulis.  Kedengaran bisikan-bisikan halus dikalangan mereka. Entah berbincang atau berbual, Cikgu Sadiah biarkan sahaja.  Dia kemudiannya kembali ke meja.
‘’Cikgu, cikgu!’’ Seorang gadis kecil bertocang dua yang duduk di tengah-tengah kelas mengangkat tangan.
            ‘’Ya, Nana.  Ada masalah ke?’’
‘’Cikgu, saya tak faham.  Keluarga bahagia ni saya nak cerita pasal apa?’’
‘’Kamu ceritalah pasal keluarga kamu.  Tentang ayah, ibu atau adik beradik.  Apa aktiviti yang sering kamu dan keluarga lakukan setiap hujung minggu..’’ Apabila Cikgu Sadiah mula memberi tips, tiba-tiba seorang budak lelaki menyampuk..
‘’Cikgu, cikgu dah lupa eh.  Nana mana ada ibu dan ayah...hahaha’’ Serentak itu kedengaran tawa berkumandang di dalam bilik darjah yang memuatkan seramai tiga puluh orang anak murid itu.  Cikgu Sadiah terdiam.  Sekarang barulah dia tersedar yang dia dah terlepas cakap.  Dia kembali menatap wajah mulus milik Nana.  Jelas terpancar pada wajah anak kecil itu yang agak terkesan dengan kata-katanya tadi. Apalagi setelah  menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas.  Mukanya kemerahan menahan malu.
‘’Kelas, jangan bising.  Buat apa yang cikgu suruh tadi. Cikgu denda kalau ada yang buat bising lagi lepas ni.’’ Cikgu Sadiah berbunyi tegas.  Suasana kelas kemudiaannya kembali sunyi seperti tadi.
‘’Maafkan cikgu ya, Nana.  Cikgu terlupa.  Maksud cikgu keluarga bahagia adalah ahli keluarga yang bersama kamu sekarang.  Hah, kamu boleh ceritakan tentang nenek kamu, sepupu atau rakan karib kamu.  Kawan rapat pun kira ahli keluarga kan?’’ Cikgu Sadiah cuba mencari ayat yang sesuai agar tidak menjentik hati anak kecil itu lagi.  Menyesal.  Dia amat menyesal. 
‘’Kalau macam tu, Nana boleh letak nama Azzy dan Lina jugak lah cikgu?’’ Nana memandang wajah Azzy yang duduk di sebelah.  Lina yang duduk di depannya pula memusingkan tubuh menghadapnya sambil mengangguk.
‘’Boleh, apa salahnya.’’ Sahut Cikgu Sadiah.
‘’Kau ceritalah pasal kita main kat taman permainan semalam.’’ Azzy menambah. Nana mengangguk lalu tersenyum. 
Akhirnya Cikgu Sadiah lega.  Dia guru matapelajaran bahasa Malaysia yang baru berpindah di SK Tabuan Jaya, sebelum ini pernah diingatkan oleh guru besar tentang pelajar bernama Hana Nazira Binti Abdul Rahman itu.
Menurut dari apa yang dia dengar dari mulut cikgu-cikgu di situ, Nana dan adik lelakinya merupakan anak yatim kematian ayah.  Ibunya pula dikatakan lari dari rumah itupun setelah setahun ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Kini, kedua-dua adik-beradik itu berada di bawah jagaan nenek mereka.  Bukan satu sekolah sahaja, agaknya satu kampung sudahpun tahu tentang khabar angin itu.  Nama pun khabar angin, cerita tak elok memang lebih cepat tersebar dan begitu jugalah sebaliknya. 
Sejak itu, Cikgu Sadiah berhati-hati menjaga kata-kata agar tidak menyinggung perasaan gadis kecil itu.  Baginya, gadis comel itu adalah seorang yang pintar dan berpotensi menjadi pelajar cemerlang.  Itulah harapannya sebagai pendidik.
##
‘’Nenek, nenek rasa ibu buat apa sekarang?’’ Soalan yang terpacul dari bibir mungil si Nana membuatkan Puan Hajijah tersentap.  Tangannya yang hendak menyuap nasi ke dalam mulut si kecil Aliff terhenti.
‘’Ibu...ibu kerja, sayang. Kenapa tiba-tiba Nana tanya ni?’’ Seperti selalu, apabila ditanya itulah jawapan yang akan disajikan kepada cucu kesayangannya itu.  Tidak mungkinlah dia akan memberitahu perkara sebenar kepada anak itu.   Ibu mereka meninggalkan mereka?  Mengertikah anak itu nanti?  Kalau dia tahu, entah apa lagi soalan yang akan keluar dari mulut petah milik Nana.
‘’Nek, kawan-kawan kat sekolah kata ibu lari dari rumah.  Betul ke?’’
Puan Hajijah terdiam.  Orang zaman sekarang, sampaikan anak-anak mereka pun dijaja cerita sebegini.  Bukannnya dia tidak tahu, kebanyakan orang kampung tahu akan masalah yang menimpa keluarga mereka.  Eton dan Tipahlah penyumbang utama kepada penyebaran cerita ini.  Bukan hendak menuduh, tetapi kedua-dua wartawan tidak rasmi yang kepoh itu tidak jemu-jemu mengorek cerita darinya.  Bila tidak diberitahu cerita sebenar, dari situ mulalah muncul macam-macam tohmahan yang dilemparkan mengenai anak perempuannya.  Biarlah mereka dengan persepsi mereka,  perkara yang sebenar hanya dia sahaja yang tahu.
‘’Kalau ibu kerja, kenapa dia tak pernah balik nek?  Mak Azie pun kerja, tapi petang dia balik.  Tapi ibu, dah lama ibu tak balik.’’
Puan Hajijah diam lagi.  Lebih baik agaknya kalau dia tidak menjawab, dari  mereka satu lagi cerita yang tidak benar demi untuk memuaskan hati cucunya itu. Nana, yang baru berusia tujuh tahun ketika itu apalah yang dia faham. Dia menyaksikan sendiri ibunya menjinjit beg keluar dari rumah pada malam hari hampir lima tahun yang lalu.  Anak perempuannya itu terus masuk ke dalam perut teksi dan langsung tidak berpaling ke belakang. Dibiarkan sahaja Nana yang menangis di dalam pelukan Puan Hajijah manakala Aliff yang baru berusia dua tahun hanya tercongok disisi nenek mereka tidak tahu apa-apa.
‘’Ibu tak sayang Nana lagi eh?’’ Nana bersuara lagi.
‘’Sayang, sayang jangan cakap macam tu.  Ibu sayangkan Nana dan Aliff.’’
‘’Kalau macam tu, kenapa ibu tak balik?’’ Nana budak bijak yang punya berbagai persoalan di mindanya.  Paun Hajijah mengeluh.
‘’Dah, dah.  Tak mau cakap pasal ni lagi dah.  Habiskan makanan ni, lepas tu sambung balik buat kerja rumah.  Nanti Nana tolong ajarkan Alif huruf ABC kat depan sementara nenek kemaskan dapur ya..’’ Puan Hajijah mengubah topik perbualan.  Tangannya menyambung kembali suapan nasi ke dalam mulut Nana, kemudian si kecil Aliff pula.  Dia berazam untuk menjaga sebaiknya dua orang cucu kesayangannya itu  Biarlah hidup dalam keadaan yang serba sederhana asalkan dapat membesarkan mereka berdua dengan baik, cukup didikan akademik dan agama.
##

‘’NANA, betul apa Qisya cakap surat ni awak yang tulis?’’ Soal Nazrin sambil menayangkan kertas bersaiz A4 yang dijumpai terselit di celah-celah buku teks Biologi miliknya pagi tadi.  Dia pasti bahawa surat itu adalah milik Hana Nazira, gadis montel yang juga adalah rakan sekelasnya kerana gadis itu meminjam buku teks tersebut semalam. 

Nana pula hanya membisu.  Mulutnya terasa berat untuk dibuka.  Pandangan hanya dihalakan ke lantai. Terlalu banyak rasa yang tersimpan di dalam hati. Malu, kecewa dan marahnya hanya Tuhan yang tahu. Ingin sahaja dia berlari keluar dari kelas saat itu.  Nasib baik sesi pembelajaran sudah tamat dan kelas agak lengang.  Jika tidak, malu besarlah dia jika rakan-rakan sekelas yang lain tahu akan perkara ini.  Malangnya nasib, bukan Nazrin  yang terjumpa surat yang dia tulis, tetapi singa betina itu, Qisya Ameera!  Dia tahu, gadis itu juga menaruh perasaan terhadap Nazrin.  Tetapi Nazrin pula?  Entahlah.

Hisy, kenapa aku bodoh ikut aje plan Fiza dan Azzy semalam! Untuk meluahkan perasaan, kononnya cara yang terbaik adalah dengan menyelitkan surat ke dalam buku teks milik Nazrin.  Lain yang dibayangkan, lain pula yang terjadi. Tak ada gunanya lagi kau menyesal, Nana! Jelingan sempat dia berikan kepada Azzy dan Lina yang berdiri di kanan dan kirinya.  Dua orang sahabatnya itu hanya mampu tersenyum kelat ke arahnya. 'Nana, sorry!'

‘’Hah, apasal diam aje?  Bisu dah ke?  Dalam surat tu  bukan main panjang lagi celoteh kau.’’Sampuk Qisya yang berdiri di sebelah Nazrin sambil berpeluk tubuh.  Meluat benar dia dengan gadis gemuk itu.  ‘Badan bulat macam tu ada hati dengan Nazrin.  Jauh panggang dari api.  Dalam kelas ni, hanya aku yang paling sesuai dengan ketua pengawas sekacak Ahmad Nazrin!’  Qisya tersenyum sinis.

‘’Nana..’’Nazrin bersuara lagi.  ‘’Surat ni awak tulis untuk saya kan?’’

Dengan perlahan Nana mengangguk.  Nazrin dan Qisya dipandangnya silih berganti.  Nazrin hanya kelihatan tenang tidak seperti Qisya yang sedang merenung tajam ke arahnya.  Seperti ingin menerkamnya pun ada.

‘’Hisy, tak sedar diri betul.’’Gumam Qisya geram.

‘’Sejak bila?’’Soal Nazrin lagi. Bebelan Qisya tidak dipedulikan.

‘’Da..da.. dari Form.’’ Nana tergagap-gagap. Nazrin terdiam mendengarkan jawapan dari mulut gadis itu.  Mana tidaknya, kalau begitu tiga tahunlah Nana sudah menaruh perasaan terhadapnya.  Ini dah jadi kes berat’   

‘’Hei, Nana!  Aku rasa lebih baik kau pergi cermin diri kau tu dulu.  Badan bulat macam tu sesuai ke berdiri sebelah Nazrin?’’Tutur Qisya sambil memandang Nana dari atas ke bawah. ‘Huh, memang tak sesuai!’

‘’Kau jaga sikit mulut kau tu, Qisya.  Sedap mulut aje kutuk-kutuk orang.  Tak ada insurans ke?’’Lina yang diam dari tadi pula bersuara sambil membetulkan cermin matanya.  Kata-kata provokasi Qisya itu mengundang rasa marahnya.  Ingin saja dia baling fail yang dipeluknya ke arah perempuan bermulut celupar itu.

‘’Aah, kau rasa muka kau tu cantik sangat ke huh?   ’’Sambung Azzy pula sambil bercekak pinggang. 

’Why? Betullah aku cakap, Nana ni tak sesuai dengan Nazrin.  Kau orang berdua tengoklah bila Nana dan Nazrin berdiri bersebelahan.  Dah macam nombor sepuluh.  Am I right, Nazrin?’’

Qisya menoleh ke arah Nazrin yang menekup mulut menahan tawa. 

Reaksi Nazrin pula mengundang rasa kurang selesa di hati nana.  Ah, mungkin Nazrin juga beranggapan begitu.  'Dalam hati Nazrin juga mungkin sedang mengutuk aku.'Fikirnya di dalam hati.

‘’Qisya, kau ni memang dah melampau kan.  Geram betul aku dengan minah ni. Aku bagi sebiji kang.’’ Azzy jadi geram.  Dia yang hendak melangkah ke depan untuk menyerang Qisya tiba-tiba terhenti kerana lengannya sempat ditarik oleh Nana.  Hisy, Nana ni, aku baru nak tunjuk skill taekwondo aku tadi! Habisnya, dia hanya menggepal penumbuk sambil ditayangkan ke arah Qisya.  

‘’Yang kau naik angin ni kenapa pula?  Aku bukannya cakap pasal kau pun, kau terasa ke?’’

‘’Yang kau kutuk tu kawan kami. Mestilah kita orang terasa.’’Bidas Lina pula.

Qisya ketawa mengejek.         
                                                                                             
‘’Kau orang bertiga ni memang sesuai sangat jadi kawan rapat.  Sorang perangai macam jantan, sorang pulak budak skema dengan cermin mata tebal.  Yang sorang ni pulak, macam ‘tong gas!’’Qisya sengaja menekan  suara dihujung ayatnya.  Puas hatinya dapat menyakitkan hati tiga orang sahabat itu.  Terutama sekali, Nana. ‘Budak gemuk tak sedar diri’ 

‘’Eee,.. nak aje aku koyak-koyak mulut minah yang tak ada insurans ni lah.’’Azzy mula naik angin.  Ingin sahaja dia merentap rambut Qisya yang panjangnya hanya paras bahu itu.  Azzy melangkah menghampiri Qisya tetapi gadis itu sempat berundur ke belakang.

‘Haa, tahu takut’ Gumam Azzy sendiri.

‘’Hei, girls stop it. Kita kat sini bukannya nak bergaduh, okey.   Azzy,  janganlah naik angin tak tentu pasal.  Behave yourself.  Kita kan kat sekolah lagi ni. Nanti tak pasal-pasal kecoh pulak satu blok ni.’’Dengan lagaknya sebagai ketua pengawas, Nazrin bersuara.  Selepas itu perhatian di alihkan semula kepada gadis yang berdiri di antara Lina dan Azzy.  Nana dilihat hanya membatukan diri. Hari ini dia tidak pula melawan seperti kebiasaannya.  Hanya Lina dan Azzy yang beria-ia mempertahankannya.

‘’Okey, Nana. I want to make things clear. Sebenarnya saya tak pernah simpan apa-apa perasaan pun kat awak.  Selama ni saya baik dengan awak bukan atas sebab lain.  For me, we are nothing but classmate.’’Ayat yang meluncur keluar dari mulut Nazrin begitu pedih untuk ditelan oleh nana. 

‘’Are you clear, Hana Nazira?’’Sampuk Qisya pula dengan sebelah keningnya diangkat ala-ala penyanyi terkenal Ziana Zain itu.

Nana hanya mendiamkan diri.  Dia cuba menghadam ayat yang terluah dari mulut Nazrin sebentar tadi.

‘’We both do not fit with each other. And you’re not my taste. I mean, look at you. You are...’’Belum sempat Nazrin menghabiskan hujahnya, Hana terus memotong.

‘’Sebab saya gemuk? Atau sebab saya ni anak yatim?’’ Hati, Nana cuba kentalkan.  Bukan kata-kata Qisya yang menyakitkan hatinya.  Tetapi penerimaan Nazrin yang membuatkannya berjauh hati dengan lelaki itu.  Nampaknya Nazrin bukanlah seperti yang dia fikir selama ini.  

 Serentak tawa dari mulut Nazrin dan Qisya tersembur sebaik sahaja mendengar kata-kata Nana. Dengan perasaan malu yang sudah menggunung, Nana berlari keluar dari kelas dengan juraian air mata. Syikin dan Azie yang ditinggalkan, terpinga-pinga dengan kelakuannya itu. 

''Ah, Nana siapalah engkau jika dibandingkan dengan Nazrin dan Qisya.  Mereka berdua  anak orang berada.  Kau pula hanyalah anak yatim yang tak punya apa-apa.'' Nana terasa seperti satu hasutan lembut menyapa telinganya.   Air mata yang sudah membasahi pipi dikesat kasar dengan hujung lengan baju kurung.  

''Nana, lihatlah diri kau.  Kau gemuk. Kau tak secantik Qisya.''Sekali lagi kedengaran suara itu berbisik dihujung telinganya.  Semakin kuat tangisannya saat itu.  Sudah itu dia hanya mampu menekap telinga sambil berjalan menyusuri lorong blok C yang sudah menyepi itu. 

‘’Kau orang berdua ni kenapa huh?  Seronok sangat ke ketawakan orang?  Tak guna!’’Dengan matanya yang besar, Azzy bersuara tegas.  Dia dan Lina kemudiannya berlari keluar mendapatkan Nana yang sudah jauh meninggalkan mereka.

''Kesian...''Kata Qisya dengan nada mengejek sebaik sahaja Azzy dan Lina berlalu pergi. Dia dan Nazrin kemudiannya berpandangan sesama sendiri sambil ketawa geli hati.


##

2 comments:

Unknown said...

sk tabuan jaya?? aloooo/ knk x sk satria jaya.. dekat.. tapi xpa.. hahaha.

Unknown said...

@Diari Sakura...hehe..ko punya sekolah eh? iyerrr..klak I.A tukar...cewahhh..anything for my readers..hehehe..