BAB 11 - Versi 2



BAB 11



  PAGI Isnin yang ditunggu-tunggu oleh Nana akhirnya tiba. Dia telah dihubungi oleh wakil dari AZ Holdings yang memaklumkan bahawa dia dijemput untuk hadir sesi temuduga beberapa hari yang lepas.  Tak lena tidur dia malam tadi.

‘’Tumpang tanya, kak.  Bilik mesyuarat D2 kat mana ya?’’ Sebaik sahaja masuk ke dalam bangunan Wisma AZ, Nana terserempak dengan dua orang wanita yang kebetulan pada ketika itu sedang menunggu di hadapan lif.  Wanita yang memakai tag nama Lana itu tidak segera menjawab, tetapi terlebih dahulu meneliti dirinya.  Dari bawah hingga ke atas dengan sebelah keningnya terangkat sedikit.  Begitu juga dengan teman di sebelahnya.

Dia orang ni pandang aku semacam aje! Gumam Nana dalam hati. Dia rasa pelik, namun tetap menten selamba.  Kedua-duanya sedang berbisik sebelum berpindah pandangan ke arah Nana.

‘’You nak pergi interview tu ke?’’ Soal teman disebelahnya pula. Laju-laju Nana mengangguk.  

‘’Tingkat sepuluh.’’ Jawab Lana pula ringkas.

‘’Err, maksudnya sampai aje kat tingkat sepuluh nanti saya dah boleh jumpa bilik tu?’’ Nana memastikan lagi.  Jawapan yang baginya tidak cukup jelas. Yalah, mana tahu dia perlu belok ke kiri atau ke kanan dulu barulah sampai ke bilik yang dimaksudkan.  Lainlah kalau bilik mesyuarat tu betul-betul depan pintu lif. 

‘’Kat atas nanti you akan jumpa staf kat front desk. Nanti, you boleh minta dia tunjukkan mana bilik mesyuarat tu.’’ Ujar Lana dengan muka tak boleh blah.  Dia kemudiannya menyambung bual dengan temannya.  Boleh buat macam Nana tak wujud di situ. Mak aihh, eksyen lebih aku tengok minah bibir merah ni! Sebelum memboloskan diri ke dalam pintu lif yang sudah terbuka luas, Nana sempat buat muka sambil membuntuti mereka dari belakang.

Sampai sahaja ke tingkat sepuluh, Nana terus berjalan ke arah front desk yang dimaksudkan.  Terdapat seorang gadis berdiri di situ, sedang melayangkan senyuman manis kepadanya dari jauh.  ‘’Ya, boleh saya bantu?’’ Soal gadis itu formal.

‘’Nak tanya, betul ke bilik mesyuarat D2 kat sini?’’

‘’Ya, betul. cik datang untuk menghadiri sesi temuduga kan?’’ Duganya pula.  Yalah, kalau dah lengkap dengan pakaian formal baju kurung bagai dengan fail di tangan, sesiapa pun dah boleh agak.

‘’Ya.’’ Jawab Nana sepatah dengan senyuman yang sudah melebar.  Fuhh, nasib baik tak semua orang macam minah bibir merah tu kat sini! 

‘’Cik ikut saya, ya.’’ Pinta gadis itu. Hati Nana pula lega sedikit kerana pencariannya tamat di situ.

Dengan hati berkobar-kobar, Nana hanya membuntuti gadis itu dari belakang sehinggalah mereka sampai ke satu ruang menunggu, betul-betul berhadapan dengan bilik yang dicari-cari tadi.  Di situ ada beberapa orang calon temuduga, agaknya sedang menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke dalam bilik yang sedang bertutup rapat itu.  Dia sempat berbual kosong dengan calon lain yang duduk sebelah-menyebelah sementara menunggu giliran demi menghilangkan perasaan gementar yang bertandang.

Seorang demi seorang nama dipanggil dan bila tiba giliran calon sebelum dirinya masuk ke dalam bilik mesyuarat itu, dada mula memainkan irama laju yang menyesakkan.  Perut pula rasa tidak selesa.  Fenomena biasa bila gementar.  Alahai, bila dah dekat-dekat ni rasa kecut perut pulak.  Padahal masa berangkat dari rumah tadi bersemangat aje aku rasa! Bila sampai masa namanya dipanggil, Nana cuak.  Punggung pula rasa macam berat nak berpisah dengan sofa yang didudukinya sedari tadi.

‘’Hana Nazira Binti Rahman.’’ Bila namanya diseru buat kali kedua, dia gagahkan jua diri untuk angkat dari situ. 

 Okey, Hana Nazira, buat macam apa yang kau dah practice semalam! Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke arah pintu yang sudah terbuka luas untuknya.  Dengan santunnya dia berjalan ke arah kerusi yang sudah tersedia, berhadapan dengan meja penemuduga.  Ucapan selamat di tujukan kepada dua susuk tubuh sedang duduk dihadapannya kini sambil menghulurkan fail berisi sijil-sijil kelulusan yang dibawanya tadi.  Salah seorang dari penemuduga, iaitu wanita berbangsa cina itu sekadar mengangguk sambil menyambut hulurannya. Dan bila pandangan jatuh pada lelaki di sebelahnya, serta-merta darah terasa menyirap ke muka.  Nana sudah tidak berdaya untuk mengekalkan senyuman, tatkala pandangan mereka saling bertaut. Bibirnya terasa berat. Sudahnya dia hanya berdiri kaku di situ.

‘’Awak boleh duduk.’’ Pinta wanita berbangsa cina itu, membuatkan Nana tersedar seketika dari lamunan.

‘’Te...te..terima kasih..’’ Ucapnya tersekat-sekat lalu melabuhkan punggung ke atas kerusi. 
Dalam ramai-ramai kakitangan kat sini, kenapalah dia ni jugak yang jadi interviewer aku!  Dia cuba menyembunyikan persoalan itu dengan raut wajah yang tenang. Sempat wajah lelaki itu dicuri pandang.  Wajah itulah yang memenuhi ruang mindanya sejak mereka bersua buat kali pertama di tingkat tujuh bangunan ini, seminggu yang lepas.  Bila menyedari lelaki itu kelihatan tenang tanpa sebarang riak terkejut, dia yakin bahawa lelaki itu lupa kepadanya.  Kalau betul apa yang dia fikir, Nana lega. 

 Okey, Nana.  Buat tak tahu aje lah!

‘’Sila perkenalkan diri awak.’’ Nana angkat muka tatkala wanita bernama Charice itu bersuara.  

‘’Nana.’’ Jawabnya sepatah sambil matanya melirik ke arah lelaki yang sedang kusyuk membelek isi kandungan failnya.  Lima saat suasana jadi sunyi, membuatkan Charice mengangkat kepala.

‘’That’s all?’’
 
 ‘Weh, kawan.  Agak-agaklah sekarang masa interview, bukan masanya nak cuci mata’ – Suara Azzy bagai terngiang-ngiang dihujung telinga.  Pandangannya terus berpindah ke arah Charice.

‘’Sorry. Saya Hana Nazira Binti Rahman. Berumur dua puluh tiga tahun dan merupakan anak pertama dari dua orang adik-beradik.  Saya pelajar lepasan diploma perakaunan dari Uitm Shah Alam.  Kursus yang susah pada mulanya tapi saya lega sebab dapat habiskannya.’’

‘’Hmm, Hana.  Love the name.’’ Puji Charice.

‘’Kan?  Arwah abah saya yang pilih.  Dia kata, ‘Hana’ bermaksud bunga dalam bahasa Jepun..’’ Lancar Nana berbicara pada mulanya, tetapi bila sedar lelaki itu sedang merenung dirinya, dia terhenti.

‘Huishh, apa yang aku merepekkan ni.  Nana, back to reality!’

‘’You pernah ada pengalaman bekerja sebelum ni?’’ Charice menyoal sebaik sahaja Nana menghabiskan ayat. 

‘’Sejujurnya sebelum ni saya tak pernah bekerja di mana-mana syarikat. Habis aje study, saya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai runcit di kampung.  Dan sekarang saya bekerja di sebuah kafe, rasanya dah masuk enam bulan.  Kafe tu dekat aje dari sini.  Cik dan Encik mesti pernah dengar nama Manis Cafe kan?’’ Soal Nana, tetapi lebih kepada menguji ingatan lelaki di hadapannya. Charice dan Aiman dilihat berpandangan antara satu sama lain sebelum mengangguk sekali.  

‘’Kenapa awak memilih untuk bekerja di AZ Holdings.  Adakah sebab awak dah tak suka dengan tempat kerja awak yang sekarang?’’ Tanya Charice lagi.

Nana menggeleng.  ‘’Bukan macam tu. Sebenarnya saya ni jenis yang suka mencuba benda-benda baru dan saya percaya AZ Holdings adalah platform yang tepat untuk saya menimba pengalaman kerja baru.’’ Mendengarkan kata-katanya sendiri, Nana hanya dapat menguntum senyum. Skemanya aku! 

‘’Cik Hana awak mesti dah sedia maklum kan, jawatan yang diisi cuma lima orang.’’ Sekarang Aiman pula bersuara.  Giliran Charice menjadi pendengar sambil menulis sesuatu di atas kertas. Melihatkan wajah Aiman yang agak serius, Nana sekadar mengangguk.

‘’Dan untuk pengetahuan awak, hari ini saja sudah hampir tiga puluh orang yang hadir temuduga.  Kebanyakannya dah ada pengalaman bekerja yang dah bertahun lamanya dari agensi lain dan ada di antara mereka memegang kelulusan melebihi tahap kelulusan yang kami kehendaki.’’ Setiap butir kata Aiman, Nana cuba hadam.  Maksud tersirat kata-katanya?

‘’Maksud encik, peluang saya agak tipis kalau dibandingkan dengan calon-calon yang lain?  Encik, walaupun saya fresher tak bermakna saya tak mampu buat apa yang mereka boleh buat.  Saya akan berusaha.’’ 

Aiman menggeleng.  ‘’That is not what I mean.  Maksud saya Cik Hana, apa yang dapat awak aplikasikan dari tempat kerja awak yang sekarang untuk AZ Holdings?’’

Dia sebut nama aku!  Nana bersorak di dalam hati. Kalau setakat sebut nama saja dah boleh buat hatinya berbunga-bunga ceria, apatahlagi kalau lelaki itu memanggilnya dengan gelaran ‘sayang’?  Boleh pengsan terus dia nanti.

‘’Saya boleh buat apa-apa jenis minuman aje yang encik dan cik nak.  Sebut aje apa-apa jenis kopi, coklat panas, latte, milkshake semua saya boleh buat.’’ Ujarnya bersemangat.  Membuatkan Charice dan Aiman yang mendengar, berusaha menahan senyum.  

‘’Kami nakkan kerani, bukannya tea lady.’’ Kata Aiman sambil menyandarkan tubuh pada kerusi. 

‘’Itu encik boleh masukkan ke dalam kerja sampingan saya nanti.  Saya okey aje.’’ Nana senyum sambil tayang barisan giginya yang putih.  Mod kaki loyar dah muncul.

‘’Excuse me?’’

’Berbalik kepada soalan encik tadi, saya nak cakap yang saya boleh adapt dengan manusia yang berbagai ragam.  Bab kerja pulak, encik beri aje apa-apa jenis tugasan, saya akan laksanakannya sebaik mungkin.  Lagi banyak lagi bagus sebab banyak saya boleh belajar.  Lagipun saya ni jenis yang self-motivated dan quick learner.’’ Nana diam sebentar.  Apa yang aku dah cakap ni. Over the limit la pulak!  Kalau betul dia nak bagi aku kerja berlambak, mati berdiri aku.

‘’Termasuk dengan jadi cleaner sekali?’’ Duga Aiman tetapi lebih kepada bergurau.  Sengaja nak tengok reaksi gadis itu seterusnya.

‘’Ya?’’

‘’Kalau cleaner cuti atau lambat datang untuk bersihkan pejabat, awak sanggup ganti tempat dia buat kerja-kerja tu semua?  Saya boleh masukkan ke dalam kerja sampingan awak nanti memandangkan awak pun tak kisah nak jadi tea lady.’’ Aiman menjelaskan bila dilihat Nana tidak dapat menangkap maksud pertanyaannya.

‘’Sanggup.’’ Sahut Nana tanpa berfikir panjang.  Alah, setakat mengemas sikit-sikit tu apa ada hal.  Kerja-kerja tu semua dia dah praktikkan kat kafe.  Kacang aje!

‘’Okey, okey.  I rasa kita dah terkeluar maksud sebenar sesi temuduga kita hari ni.  Encik Aiman, shall we go back to our main course?’’ Charice yang sudah tidak dapat menahan tawa terus memberikan isyarat kepada Aiman.

##

‘’Macam seronok aje kenakan budak tu tadi.  Padahal dengan calon-calon lain you bukan makin serius aje I tengok.  Hmm, pelik.’’ Charice suarakan juga kehairanannya sambil menyilangkan tangan.  Lagak curiga. Mahunya tak hairan. Sebaik sahaja Nana keluar dari bilik temuduga tadi Aiman hanya tersengih seorang diri.  Tentu ada sesuatu pada gadis itu yang menggeletek hatinya.

‘’I saja-saja nak test dia.  Tapi tak sangka, boleh tahan jugak.’’ Nana merupakan calon temuduga terakhir pada hari itu.  Jenuh jugaklah dia melayan kerenah calon-calon temuduga sebelum ini.  Macam-macam ragam.  Tetapi nasib baik ada ‘dia’.  Terhibur juga hatinya tadi.

‘’Boleh tahan?  Hah, jangan cakap yang you dah...’’

‘’Bukan macam tu lah Charice.  Frankly speaking, we need someone like that.  Tak teragak-agak bila menjawab.  Bersemangat.  I suka.’’

‘’Biasalah, youngsters.  Lagilah you suka, kan?’’ Tebak Charice.  Melihatkan lirikan mata yang Charice yang punya maksud Aiman hanya mampu tersenyum.

‘’I cakap aje macam tu ye.  Tak ada maksud tersurat mahupun tersirat.’’

‘’Iya lah tu.’’

Dan sekali lagi Aiman menguntum senyum.

No comments: