BAB 7 - Versi 2


BAB 7

JAM di dinding sudahpun menginjak ke angka sepuluh sebaik sahaja Nana memasuki bilik tidurnya.  Bersama penat yang masih terasa, dia merebahkan tubuh di atas katil sambil memikirkan kata-kata Puan Hajijah sebentar tadi.

‘’Nak pergi ke tak nak pergi eh?’’ Nana bercakap seorang diri.  Anak rambut yang mengganggu penglihatan dilurutkan ke belakang sambil dia berfikir.

            Kalau sahaja kedatangannya nanti tidak dialu-alukan oleh tuan rumah bagaimana?  Hadir pun dia ke majlis perkahwinan itu nanti, buat nanah telinga sahaja mendengar bebelan Mak Long.  Mulut Sakinah, anak tunggalnya itu pun boleh tahan pedasnya.  Nana sedar yang dia tidak pernah dialu-alukan dalam keluarga itu. Mujurlah Pak Longnya tidak begitu.

Nana, bila dengar saja nama Mak Long dan Sakinah disebut, serta-merta bulu romanya akan meremang.  Rasa macam kena renjatan elektrik pun ada.

‘’Bukannya susah pun permintaan nenek ni, long.  Sakinah tu bukannya orang lain dengan Along,  sepupu Along juga.  Sudahlah masa Sakinah bertunang tahun lepas Along tak dapat datang. Along ikutlah nenek pergi ke majlis kahwin Sakinah tu nanti, hmm?’’ Puan Hajijah cuba memujuk.  Mudah-mudahan saja Nana terbuka hati untuk mengikutnya ke majlis perkahwinan Sakinah nanti. Masalah lama, biarkan saja berlalu.

Nana pula tidak segera menjawab. Dia hanya mengeluh. Masa majlis pertunangan Sakinah dulu bolehlah dia mengelak. Alasannya, ujian akhir semester dah dekat menyebabkan dia terpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran jadi tidak ada masa untuknya pulang ke kampung. Tetapi kali ini? Terang-terang sekarang dia sudah menamatkan pelajaran dan kini berada di kampung halamannya.  Nak beri alasan apa pula kali ini?  Nana cuba mencari idea.  Tak dapat datang sebab ada kerja kat kafe?  Majlis perkahwinan tu nanti akan diadakan pada jumaat petang dan neneknya tahu yang giliran Nana bercuti pada hari tu.  Nak mereka cerita?  Nana, itu menipu namanya! 

Puan Hajijah mendongak. Mencari wajah cucunya. ‘’Hmm, lamanya fikir. Tak payah fikir-fikir lagilah. Nanti Nana ikut saja nenek dan adik pergi.’’ Puan Hajah angkat dari meja makan. Kemudiannya dia kembali sambil membawa semangkuk sederhana besar yang berisi nasi putih.

‘’Lah, nek.  Macamlah nenek tak tahu yang Mak Long dan Kak Kinah tu bukannya suka sangat dengan Along.  Takut kedatangan Along ke majlis tu nanti tak dialu-alukan.’’ Nana mohon pengertian. Susah benarkah untuk membuat neneknya itu faham? Mak Long memang tidak berkenan dengan dirinya sejak dia kecil lagi.  Sakinah, anak tunggalnya itu sama sahaja.  Sebab mereka bersikap dingin dengannya, Nana kurang pasti. Nak dikatakan Sakinah membencinya atas sebab cemburu, itu mustahil. Sakinah punya kelebihan berbanding dirinya. Mak Longnya pula, dia tahu wanita itu memang jenis yang mudah melenting. Memang kenalah dengan Si Nana yang agak nakal masa kecil dulu. Memang tak sah kalau sehari tak kena bebel dengan wanita itu.

 ‘’Eh, budak ni ke situ pula dia.  Mana ada macam tu.  Mak Long dengan Pak Long jemput kita semua sekali. Along jangan nak fikir yang bukan-bukan.’’

‘’Nek, Along tak selesalah.  Maunya Mak Long dengan Kak Kinah halau Along dari majlis tu nanti.  Jadi drama swasta karang, susah.  Masuk slot Zehra dalam TV3 tu.’’ Mulalah imaginasi si Nana. Segarang-garang Mak Long, walaupun tak sampai ke tangan, tetapi cukup dengan herdikan dan kata-kata sinisnya saja boleh membuatkan dirinya jauh hati dengan wanita itu.  Dia juga pernah menganggap wanita itu berat sebelah kerana layanan yang diterima dari wanita itu agak berbeza dengan sepupu-sepupunya yang lain termasuklah adiknya sendiri.  Dengan yang lain dia okey sahaja.  ‘Dengan aku?’  Nana rasa dirinya macam kehidupan Cinderella pada zaman moden pula. Haih, berangan saja.

‘’Along tak pergi, bukannya Mak Long kisah pun nanti nek.’’Nana bermain-main dengan nasi di dalam pinggan. Hilang seleranya. Biasanya, cepat sahaja makanannya licin dikerjakan.

‘’Itu cuma fikiran Along.  Mak Long kamu dah tak macam dulu.  Kebelakangan ni, dia selalu tanya khabar Along.  Yalah, dah lama tak jumpa sejak Along habis belajar ni.’’

Mata Nana terkebil-kebil. Huh, rasa macam tak percaya saja.  Mak Long tanya khabar dia?  ‘’Nenek sengaja nak sedapkan hati Alonglah tu.  Tak percayalah.’’ Nana menjuihkan bibir.  Along berani potong rambut ni kalau betul yang Mak Long dah berubah..Haa..

‘’Eleh, potong rambut aje? Ingatkan Along nak cakap potong jari tadi. Tak thrill langsung.’’ Aliff yang sedari tadi hanya mendengar perbualan nenek dan kakaknya tiba-tiba mencelah.

Nana menjeling ke arah Aliff ‘’Hei, budak kecik, diam-diam makan sudah. Jangan masuk campur orang dewasa tengah bercakap.’’ Nana memberi amaran.  Menyibuk saja si budak Aliff ni.

‘’Budak kecik? Macamlah Along tu dah cukup dewasa. Perangai tak kena pun dengan umur.’’

Nana pandang wajah Aliff tajam. ’’Yang Aliff sibuk pasang telinga masa Along dan nenek bercakap tu kenapa, Aliff makan sajalah.  Esok nak exam kan, makan cepat-cepat.  Lepas tu angkat dari sini. Belajar.’’

‘’Orang ada telinga, dengarlah. Tak nak Aliff dengar, cakap sajalah lepas Aliff habis makan nanti.’’Aliff menjuihkan bibir. Sengaja nak panaskan hati si kakak. Nana pula, tayang penumbuk. Aliff hanya menyengih.

Puan Hajijah menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah dua orang cucu kesayangannya.  ‘’Dua orang budak ni, nak bergaduh saja kerjanya.’’


##

AZHAREL berhati-hati menaiki tangga sebaik sahaja dia terdengar bunyi televisyen dari ruang rehat di tingkat dua rumah agam itu.  Sangkaannya tepat bila dia terlihat kedua-dua orang tuanya sedang beristirehat di situ. Tanpa berlengah, langkah dihayun berhati-hati agar dua susuk tubuh yang begitu asyik dengan drama yang ditayangkan itu tidak sedar akan kehadirannya. Lagak Azharel dah tak ubah macam pencuri yang nak pecah masuk.

‘’Hah, Arel. Baru sampai?’’Tegur Encik Azhar tiba-tiba.

Azharel urut dada, terkejut.  Tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk dia sampai ke depan pintu bilik tidurnya.  Entah ilmu apa yang ayahnya guna.  Rasanya, dia sudah melangkah dengan cukup senyap tadi. Sudahnya dia terus berpaling dan berjalan ke arah mereka, tayang muka seposen.

‘’Arel, where you from?’’ Giliran Puan Adibah pula bersuara.  Setibanya di rumah pada petang tadi, dia perasan Audi milik Azharel sudah tiada di parkiran.  Anak lelakinya yang seorang ini memang tidak betah tinggal di rumah.

‘’Hem, just back from hanging out with my friends.’’ Jawab Azharel selamba langsung duduk di sebelah ayahnya. Sebenarnya, balik dari butik Dalila tadi dia terserempak dengan beberapa orang rakan lama di parkiran.  Azharel apa lagi, melepak sampai tak ingat dunia.

‘’Lewat macam ni baru nak balik?’’ Azharel menghela nafas. Bosan. Ibunya sudah mula membebel. Kalau tak membebel, bukan Puan Adibah lah namanya.

‘’Mum, bukannya selalu.’’

‘’Selalu tak selalu.  Mummy tak suka Arel terbawa-bawa dengan budaya dari sana tu.  Balik lewat malam. Pergi mana tadi, night club lagi?’’ Puan Adibah menebak.  Risau kalau anak lelakinya itu masih mengamalkan cara hidup negatif dari negara barat itu.

‘’Mum, I’m not a little boy anymore. Arel tahu bezakan yang mana baik, yang mana buruk.  I know my limits. So, please mum..don’t worry about me.’’

‘’I know.  But still... mummy concern about you, Arel. Mummy tak suka kalau Arel jejakkan kaki ke tempat macam tu lagi.’’

‘’Mum, Arel tak suka kalau mummy tuduh Arel tanpa usul periksa.  Arel dah tak pergi lagi ke tempat macam tu.  Do you smell alcohol? No right?''

‘’Ehem..’’ Encik Azharel berdehem sebagai isyarat agar perang mulut dua orang anak-beranak itu dihentikan. Seperti dirinya tidak wujud pula di situ. Kepala tak pening boleh jadi pening.

''Kamu berdua ni pantang berjumpa mesti nak bertekak saja.  Tak boleh ke bercakap elok-elok macam ibu dan anak yang lain?'' Serentak Puan Adibah dan Azharel menoleh ke arah Encik Azhar.

‘’Aiman ada beritahu daddy yang Arel singgah pejabat tengahari tadi.  Kenapa tak naik?  Boleh berkenalan dengan staf-staf di pejabat sekali.’’Tutur Encik Azhar bila keadaan jadi sunyi kembali. 

‘’Erm, Arel tak ready lagilah dad.  Baik tunggu Arel masuk pejabat saja nanti.’’

‘’Kalau macam tu bila Arel nak masuk?  Cepat Arel mula, senang sikit kerja daddy nanti.’’

‘’Hmm, betul kata daddy kamu tu.  Jangan nak tangguh-tangguh pula.’’ Tokok Puan Adibah.

‘’Macam ni, actually Rel ada terfikir nak cuti rehat dulu sebelum masuk kerja.’’

Encik Azhar dan Puan Adibah  berpandangan sesama sendiri.

‘’Hem, cuti.  Berapa hari Rel nakkan?’’ Tanya Encik Azhar.

Azharel mengaru-garu dagunya.‘’Hmm, how about a month?’’

Bulat mata Puan Adibah memandang wajah anak lelakinya.‘’A month? Arel jangan nak mengada-ngada ya. Berehat apanya lama-lama macam tu?’’

Puan Adibah terus menoleh kearah suaminya.‘’Daddy, please tell me that you’re not agree with him.’’ Berharap benar agar suaminya tidak sewenang-wenangnya bersetuju dengan kehendak anak lelaki mereka yang tidak-tidak itu.

Puan Adibah dan Azharel memandang wajah Encik Azhar sambil menunggu jawapan yang bakal keluar dari mulut lelaki lewat 50-an itu.  Ya, untuk Azharel manakala tidak untuk Puan Adibah.

‘’Okey, daddy benarkan...’’Segaris senyuman terukir pada wajah bersih milik Azharel. Puan Adibah pula mengetap bibir. ‘’But, only for two weeks.’’ Saat ayahnya berkata begitu, secara automatik senyuman Azharel menipis. Dua minggu sahaja?

            ‘’Only two weeks?’’

          ‘’Yes.  Kalau Arel tak turun pejabat dalam masa sebulan nanti siapa yang nak tengok-tengokkan syarikat?  Arel dah lupa yang daddy dan mummy nak pergi umrah dalam dua minggu lagi?’’

            ‘’Lah, Aiman kan ada.’’ Bukan saja-saja Azharel petik nama Aiman.  Dia sendiri tahu yang Aiman merupakan orang harapan ayahnya.  Malah, dia kerap dengar ayahnya memuji hasil kerja sepupunya itu. 

        

           

           

No comments: