Manuskrip Cinta - Bab 3




BAB 3

          ‘’GIRLS, ada berita tergempar!’’ Pada tengahari yang cukup tenang untuk aku bertukar sebaliknya bila datangnya Mimi si mulut murai ke kafetaria membawa satu berita yang aku pun tak pasti benar-benar tergempar atau tidak.  Tengok dari muka macam iya.  Tanpa dijemput, dia sudah duduk di atas kerusi kosong bersebelahan dengan aku.

            ‘’Berita apanya tergempar sangat tu?’’Soal Kak Ilya.  Jun di sebelahnya juga macam dah tak sabar.  Terangguk-angguk sambil minta Mimi meneruskan cerita.  Aku pula, hanya tenang menghirup air oren di depan mata.  Entah apa pula penemuannya kali ini. Lagipun, cerita-cerita yang si Mimi ni bawak bukannya boleh didengar sangat.  Lebih ke gosip-gosip kosong sahaja.  Kekadang, aku tak mahu ambil pusing jika ianya tiada kaitan dengan hidup aku.

            ‘’Pasal cerita minggu lepas lah.  Bos kita confirm nak bersara.’’Jawabnya. Aku lihat respon yang diberikan oleh kak Ilya dan Jun. Kedua-duanya nampak terkejut. Okey, berita ni mungkin cukup menggemparkan untuk kawan-kawan aku yang lain kecuali aku. Sebab cerita ni aku dah sahkan awal-awal dari kak Melati pagi tadi.  

            ‘’Dari mana kau dapat berita ni?’’ Soal aku.  Saja nak menguji dia.

            ‘’Dari Bobby.  Kan dia ada join meeting tadi.  Agaknya masa tu jugaklah bos umumkan pasal ni.’’ Oh, patutlah lambat turun.  Sempat menemu-ramah si Bobby rupanya tadi.

            ‘’Hemm..kalau macam tu siapa yang akan gantikan tempat dia? Encik Zaf?’’ Tanya kak Ilya. Tengah-tengah terkejut tu pun sempat lagi suakan nasi ke dalam mulut.  Kunyah nasi macam ada orang yang nak bawak dia berlumba siapa yang cepat habis.  Lapar sangat gamaknya.

            ‘’No.’’ Sahut Mimi ringkas sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya sambil tayang muka tak boleh blah dia tu. 

            ‘’Habis tu?’’ Kini giliran Jun pula bersuara.  Lucu. Kami bertiga dah macam ikut giliran pula.  Mimi pula tak ubah macam artis penuh kontroversi yang buat post mortem. Artis sangat.

            ’Guess who.’’ Berteka-teki pula si Mimi ni.  Nasib baik aku dah tahu jawapannya.  Kalau tidak, memang aku dah paksa dia bagi jawapan terus.  Intro-intro ni tak memberi kesan langsung dengan aku.  Bikin melarat cerita aje adalah.

            ‘’Kalau bukan Encik Zaf, rasanya Mr. Chua lah kut.’’ Jun join juga sesi teka-teki si Mimi ni.  Apa kaitannya pula dengan Mr. Chua?  Lelaki berbangsa cina itu cuma ketua akauntan di department kami.  Nak kata ada hubungan keluarga dengan tuan haji rasanya tidak. Jun ni memanglah.  Bagi jawapan tak pandang kiri kanan dulu.  Main balun aje.

            Mimi tergelak.  ‘’Apa ada hal dengan Mr. Chua pulak.  Bukanlah.  Kau orang nak tahu siapa?’’Lagi, Jun angguk-angguk kepala macam burung belatuk.  Rasa nak pasang pendakap aje kat leher dia ni.

   Mimi kemudiannya mendekatkan kepala kepada kami bertiga.

         ‘’The Most Eligible Bachelor,  Mr. Luke Daniyal Haji Mukhriz.’’ Akhirnya Mimi mendedahkan identiti sebenar siapa bos baru kami nanti.  Kejap, aku cuma tahu yang anak bongsu tuan haji yang akan gantikan tempat CEO.  Kalau pasal nama penuh dia tu aku tak pernah pun nak ambil tahu sebelum ni dan bahagian the most eligible apa entah tu lagilah aku tak tahu.  Luke Daniyal.  Unik pulak nama Luke tu untuk seorang lelaki melayu macam dia.  Ada kebaratan sedikit. Tapi…eligible ke?

           ‘’Wow..bachelor?’’ Jun angkat-angkat keningnya yang nipis itu.  Muka pulak tayang senyuman penuh makna dengan Mimi.  Aku faham dah tu.  Dah datang gatal lah tu.  Macam aku tak tahu perangai dua orang minah ni.

            ‘’Handsome tau.’’ Sahut Mimi sambil membalas senyuman seangkatan dengan Jun tadi pada kami.  Dia angkat kedua-dua ibu jarinya.  Nampak gaya macam ‘kacak’ sangat Mr. Bachelor tu. Kalau tidak, tak adalah Mimi begitu beria-ia.  Selepas Encik Zafril, ini kali kedua dia bersemangat begitu.  

Satu kenyataan yang aku pun tak boleh nak sangkal, Encik Zafril boleh tahan kacaknya.  Sayangnya, dia dah beristeri.  ‘’Nak ushar-ushar pun dah tak guna’’.  Itu yang pernah aku ingatkan pada Mimi dan Jun.  Gila ke nak tergila-gilakan suami orang? Kesian pula dengan si Bobby, rasanya dah lama jugak dia simpan perasaan kat Mimi ni tapi Mimi ni jual mahal pulak.           

 ‘’Bobby tu anggap macam kawan biasa aje.  Lagipun dia tu tak menepati taste aku langsung.’’ Itu yang pernah Mimi beritahu kami sebelum ni.  Yalah, kalau badan Bobby yang membulat tu macam Encik Zafril yang badannya bajet model majalah tu aku rasa dah lama terbeliak mata si Mimi ni.  

            ‘’Kau cakap macam tu kau pernah jumpa dia ke?  Yalah kau orang pun tahu kan yang tuan haji tu jarang bercerita pasal anak bongsu dia selain encik Zafril.’’ Soal Kak Ilya yang hanya menjadi pendengar dari tadi.  Baru aku nak tanya soalan yang sama, dia dah lakukan bagi pihak aku.  Jimat air liur aku.

              ‘’Ini Mimi lah Kak Ilya…’’Mimi dabik dada.

            ‘’Mestilah kau Mimi.  Takkanlah miao miao pulak.’’ Sempat pulak Jun melawak.  Aku dan kak Ilya senyum simpul.   Muka Mimi pulak macam - Weh, bagilah aku habiskan ayat dulu.

              Dia kemudiannya meneruskan hujah. ‘’Nak cakap pernah jumpa face to face tu taklah. Mimi pernah tengok gambar keluarga mereka masa masuk pejabat bos untuk hantar fail sebelum ni.’’

            ‘’Aku pun pernah jugak masuk pejabat tuan haji tapi tak perasan pun.  Yalah, takkanlah aku nak perhati setiap gambar-gambar yang tergantung kat pejabat dia tu.  Apa pulak kata tuan haji nanti.’’ Tutur Jun ikhlas.  Agaknya, jawapan aku dengan Mimi sama aje. 

‘’Kau ni boleh tahan penyibuk jugak kan minah.’’ Kutuk Jun.  Mimi aku tengok macam tak kisah pun.  Bangga-bangga adalah – Well..

            ‘’Apa lagi pasal dia yang kau dah korek?’’ Soalku.  Bukan sebab aku betul-betul nak ambil tahu.  Sekadar nak menguji tahap kehebatan detektif Mimi ni sebenarnya.  Lagipun apa yang hebat sangat dengan lelaki yang bernama Luke apa entah tu.  Bikin aku semakin curious.  Bak kata orang putih.

           ‘’Aku nak ceritalah ni.’’ Kami bertiga sama-sama mendekatkan kepala kepada Mimi.  Alamak, aku dah terpengaruh!

            ‘’Mr. Luke dengan Encik Zafril ni bukan adik-beradik kandung.’’ Yang pertama, kenapalah Mimi ni guna Mr. dengan Encik pulak.  Bukan maknanya sama aje ke.  Yang kedua, dia orang berdua bukan adik-beradik kandung?  Wow..bukan aku saja, aku tengok kak Ilya dengan Jun pun sama terlopong dengan informasi yang keluar dari mulut Mimi.

            ‘’Gila gosip! Betul ke?’’ Suara serak basah milik Jun mengundang mata-mata memandang ke meja kami.  Kut iye pun perlahankanlah sikit volume tu cik kak oi.  Di bawah meja aku sepak perlahan kaki Jun.  

  ‘’Shuuhh..’’ Kata kak Ilya sambil mendekatkan jari telunjuk ke mulut. 

Jun menyengih.‘’Sorry..sorry.’’ Faham jugak rupa-rupanya dengan isyarat yang aku beri tadi.  Kalau tak faham-faham juga, tahulah memang pahanya pula yang akan jadi sasaran.

            ‘’Betul ke?’’ Soal Jun lagi dengan suara yang sedaya upaya direndahkan.  Separuh berbisik tetapi cukup untuk pendengaran kami berempat sahaja.

            ‘’Aku dengar dia anak angkat aje.  Kau orang tak rasa pelik ke?  Dia yang anak angkat tu boleh ganti posisi tuan haji jadi CEO padahal Encik Zafril lebih berhak sebab dia anak sulung lelaki dan yang paling penting anak kandung tuan haji.’’

            ‘’Apa masalahnya kalau dia anak angkat.  Mungkin tuan haji ni tak pentingkan semua tu atau mungkin Encik Zafril sendiri yang tak nak ganti tempat CEO sebab dah selesa uruskan branch kat KL tu.’’ Aku memberikan pendapat positif aku.  

            ‘’Akak pun rasa macam tu.’’ Sokong kak Ilya pula.

            ‘’Bukan apa..kau orang fikir aje lah.  Selama ni Encik Zafril yang uruskan syarikat.  Mr. Luke ni pulak dah bertahun-tahun menetap kat luar negara dan bila balik aje  dengan mudahnya nak takeover tempat tuan haji.  Tempat CEO pulak tu.  Aku rasa Encik Zafril lebih layak. Kau orang tak rasa ada something wrong kat situ?’’ Panjang pulak hujah si Mimi ni.  Semakin konpius pulak aku.  

            ‘’Ah biarlah..pedulilah dengan siapa nak takeover siapa.  Yang penting tak ganggu periuk nasi aku.’’ Balas aku ringkas.

          ‘’Betul jugak kata Hana tu. Tak kisahlah Encik Luke Daniyal tu siapa.’’ Kata Jun. Aku senyum.  Ada jugak yang sokong pendapat aku.

‘’Yang penting handsome!’’ Katanya lagi.  Pulak dah!

No comments: